BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 13, 2011

Jika Makan Berlebihan Dalam Bulan Ramadhan

BULAN Ramadan bukan hanya mendidik manusia untuk berlapar dan dahaga sahaja. Malah juga mendidik sikap kesederhanaan dalam hidup yang amat digalakkan di dalam Islam.

Menurut Imam al-Ghazali sifat kesederhanaan akan menjadikan kita akan berhati-hati dan menjaga dalam dua perkara yang dituntut, iaitu tidak terlibat dengan perkara yang haram dan syubhat, dan memelihara diri daripada berlebihan dalam perkara halal.

Bagi mencapai darjat takwa, antara anggota yang perlu dijaga ialah perut dengan tidak memakan makanan atau minuman secara berlebihan pada bulan puasa.


Imam al-Ghazali di dalam kitab Manhaj al-Abidin mengingatkan kita bahawa perut adalah anggota yang paling sukar dijaga sekalipun di kalangan ahli ibadat. Justeru, beliau telah menyenaraikan 10 kemudaratan berpunca daripada pengambilan makanan yang berlebihan;

Pertama: Hati menjadi keras
Makan banyak bukan sahaja menjadikan hati semakin keras, malah cahaya akan pergi dan padam. Nabi Muhammad SAW bersabda mengumpamakan di dalam hadis baginda bahawa hati manusia akan mati dengan banyak makan dan minum sekalipun halal sebagaimana tanaman yang banyak disiram air.

Kedua: Menimbulkan fitnah kepada anggota badan
Apabila perut kita kenyang yang berlebihan akan menambahkan kecerdasan kepada anggota badan yang lain. Anggota lain akan bergerak cergas melakukan perkara yang tidak bermanfaat dan mensia-siakan. Mata akan menjadi liar, telinga akan mendengar yang sia-sia, lidah akan banyak berkata-kata, seterusnya semua anggota kaki, tangan dan lain-lain akan bergerak cergas.

Sebaliknya, apabila perut lapar semua anggota lain akan tenteram, tenang dan tidak bernafsu untuk melakukan perkara yang haram dan sia-sia. Anggota menjadi lemah, tidak cergas disebabkan oleh tiadanya ransangan makanan.


Ketiga: Melemahkan fikiran
Orang yang banyak makan akan menjadikan fikirannya lemah, lembab dan tidak bertenaga. Apabila anggota lain menjadi lemah, secara tidak langsung fikiran dan minda menjadi lemah. Makanan yang berlebihan melemahkan ingatan, melambatkan hafalan dan memadamkan apa yang disimpan dalam ingatan, seterusnya menghilangkan kecerdikan. Abu Sulaiman Abdul Rahman Al-Darani mengatakan bahawa apabila kita menginginkan sesuatu, maka jangan kita makan sehingga apa yang kita ingini berhasil. Ini kerana dengan makan boleh mengubah fikiran kita.


Keempat: Mengurangkan ibadat
Perut yang berlebihan kenyang akan menjadi badan semakin berat dan sukar untuk bergerak cergas. Mata akan menjadi mengantuk, kaki, tangan dan anggota lain menjadi lesu dan perlu kepada kerehatan. Akhirnya kita akan tertidur dengan nyenyaknya. Orang yang berada dalam kekenyangan seumpama ditimpa penyakit lumpuh.


Kelima: Menghilangkan kemanisan beribadat
Makan yang berlebihan akan mengurangkan kemanisan beribadat. Sayidina Abu Bakar RA pernah mengatakan bahawa dirinya tidak pernah merasai kenyang semenjak beliau memeluk agama Islam agar dirinya mendapat kemanisan beribadat. Dirinya tidak pernah puas minum dengan harapan untuk bertemu Allah.
Sembahyang yang dilakukan dalam keadaan kekenyangan tidak mendatangkan khusyuk. Maka sebab itulah salah satu Allah mewajibkan ibadat berpuasa sebagai salah satu latihan fizikal agar kita mendapat kemanisan beribadat.


Keenam: Terdedah kepada perkara syubhat dan haram
Makan yang berlebihan mudah terdedah dan terjerumus kepada syubhat dan haram. Menurut Imam al-Ghazali makanan yang halal itu hanya datang kepada kita sekadar untuk menjadi makanan. Pada hakikatnya harta yang syubhat dan haram itu banyak dan mudah diperoleh.
Bahkan kadang-kadang datang secara tiba-tiba tanpa bersusah payah, berusaha keras, tanpa penat dan lelah, tanpa masa yang lama dan tanpa diduga oleh kita. Namun harta yang halal dan bersih lagi suci itu sedikit dan sukar diperoleh.


Ketujuh: Menyibukkan hati dan badan
Manusia sentiasa sibuk dan resah apabila memikirkan tentang makanan. Masa yang banyak dihabiskan untuk menumpukan kepada makan dan minum. Bermula memikirkan tentang apa yang ingin dimakan, kemudian difikirkan pula soal penyediaannya sehinggalah selesai.
Imam al-Ghazali menjelaskan begitu ramai manusia menghabiskan usia kerana makan, apatah lagi cara penyediaan makanan hari ini dengan pelbagai menu sehingga berjam-jam lamanya. Berbeza kalau dilihat pada bulan Ramadan, suasana pada siang harinya tenang.


Kelapan: Bebanan urusan akhirat
Pesanan daripada Rasulullah SAW bahawa seseorang yang menikmati kelazatan dunia yang berlebihan akan menerima banyak halangan, kesusahan dan kepayahan semasa sakarat al-maut dan di akhirat.
Kelazatan di akhirat akan berkurang mengikut kadar kelazatan yang dihabiskan di dunia. Sekiranya di dunia dihabiskan masa dengan kemewahan, kesenangan, keseronokan maka pastinya banyak sekatan, tapisan yang akan dihadapi untuk menuju ke syurga. Di akhirat nanti akan melambatkan urusan untuk ke syurga.


Kesembilan: Kurangnya panjaran pahala di akhirat
Sesungguhnya kelazatan negeri akhirat akan berkurang berdasarkan apa yang kita ambil daripada kelazatan di dunia. Justeru, Allah akan memberi jaminan tidak sesekali akan mengurangkan kelazatan di akhirat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik.


Kesepuluh: Tertahan di Padang Mahsyar
Makan berlebihan akan tertahan di Padang Mahsyar kerana kiraan hisab amalan. Kita juga akan mendapat celaan dan cemuhan malu kerana tidak mementingkan soal adab. Ini kerana berlebihan itu sebenarnya adalah menurut hawa nafsu syahwat. Setiap amalan yang halal itu tidak akan terlepas daripada kiraan hisab Allah. Tempoh yang lama di padang Mahsyar akan melambatkan kita memasuki syurga Allah.

Bulan Ramadan mendidik umat Islam agar bersifat sederhana terutama dalam urusan makan semasa waktu berbuka. Elakkan daripada berbelanja dengan membeli makanan secara berlebihan agar kita tidak terjerumus kepada perkara yang haram iaitu pembaziran dan pemborosan yang menjadi amalan syaitan.

Amalan bersederhana ini akan menyelamatkan diri kita daripada 10 perkara yang merosakkan ibadat akibat daripada makan yang berlebihan, dan mengelakkan diri daripada ditimpa penyakit. Ini kerana punca segala penyakit fizikal juga adalah berpunca daripada amalan pemakanan yang salah.

●●●●⊱●●⊱●●⊱Sebar-sebarkan Semoga Bermanfaat ●●⊰●●⊰●●●●

Wednesday, August 10, 2011

21 amalan menuju Syurga


Sahabat yang dirahmati Allah,
Syurga adalah tempat tinggal yang abadi di hari akhirat disediakan oleh Allah SWT untuk orang-orang mukmin.

Anas bin Malik r.a berkata: "Nabi Muhammad SAW. bersabda maksudnya : "Siapa yang minta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka syurga berdoa: "Ya Allah, masukkan ia kesyurga" dan siapa berlindung kepada Allah dari neraka tiga kali maka neraka berdoa: "Ya Allah, hindarkan ia dari neraka."

Seorang ahli hikmah berkata: "Condong kepada dunia setelah mengetahui pahala bererti satu kebodohan dan tidak bersungguh-sungguh beramal setelah mengetahui besarnya pahala bererti lemah malas dan di syurga ada masa istirehat tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang tidak pernah istirehat didunia dan ada kepuasan yang tidak dapat dirasakan kecuali oleh orang yang meninggalkan berlebihan didunia, dan cukup dengan kesederhanaan yang ada didunia."

 Terdapat 21 soalan dan jawapannya telah diberikan oleh Rasulullah SAW untuk kalian mendekatkan diri kepada Allah SWT, mendapat balasan pahala dan jalan menuju kesyurga Allah SWT.

1. Adakah kalian ingin mendekatkan diri kepada Allah?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Seorang hamba itu paling hampir dengan Allah adalah ketika dia sujud, hendaklah kamu banyak berdoa sewaktu sujud".( Hadis Riwayat Muslim)

2. Adakah kalian inginkan pahala seperti mengerjakan haji?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Mengerjakan umrah pada bulan Ramadan adalah seperti  mengerjakan haji bersama-samaku". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Adakah kalian inginkan sebuah istana didalam syurga?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang membina masjid, Allah akan membina sebuah istana didalam syurga untuknya". (Hadis Riwayat Muslim)

4. Adakah kalian inginkan keredaan Allah setiap masa?

Nabi SAW  bersabda maksudnya  : "Sesungguhnya Allah reda kepada hambanya yang mengucapkan syukur di waktu makan dan minum". (Hadis Riwayat Muslim)

5. Adakah kalian mahu doa dimakbulkan oleh Allah?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Allah tidak menolak doa hambanya diantara waktu azan dan waktu qamat". (Hadis Riwayat Abu Daud)

6. Adakah anda inginkan pahala seperti orang yang berpuasa setahun?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Puasa tiga hari pada setiap bulan adalah sama pahalanya seperti puasa setahun". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Adakah kalian inginkan pahala sebesar gunung?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang menziarahi dan solat jenazah, pahalanya seperti sebuah gunung dan sekiranya dia juga menghantar jenazah ke kubur maka dia akan mendapat pahala seperti dua gunung". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Adakah kalian ingin bersama-sama Nabi dalam syurga?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Aku akan bersama-sama dengan orang yang telah menjaga anak yatim didalam syurga". (Hadis Riwayat Bukhari)

9. Adakah kalian inginkan pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau orang yang berpuasa atau orang yang mendirikan solat?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Orang-orang yang berusaha dan menolong ibu tunggal dan orang miskin pahalanya seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti pahala orang yang mendirikan solat atau seperti pahala orang yang berpuasa".
(Hadis Riwayat Muslim)

10. Adakah kalian ingin mendapat jaminan Nabi untuk masuk ke syurga?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang dapat memelihara mulutnya dan diantara dua pehanya maka aku akan memberi jaminan kepadanya untuk masuk syurga".
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

11. Adakah kalian inginkan pahala amalan walaupun selepas mati?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tiga perkara yang akan berterusan mendapat pahala walaupun seseorang itu meninggal dunia adalah sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diberikan kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa kepadanya".
(Hadis Riwayat Muslim)

12. Adakah kalian ingin mendapat satu daripada hazanah syurga?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang membaca " LAHAULAWALA QUWATA ILLABILLAH" dia akan mendapat satu daripada hazanah syurga".
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

13. Adakah kalian inginkan pahala seperti orang yang mendirikan solat sepanjang malam?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang solat isyak dan subuh berjemaah dia akan mendapat pahala seperti mereka yang mendirikan solat sepanjang malam".
( Hadis Riwayat Muslim)

14. Adakah kalian inginkan pahala seperti orang yang membaca 1/3 Al-Quran?

Nabi SAW bersabda maksudnya  : "Sesiapa yang membaca " QUL HUWA ALLAHU AHAD... " dia akan mendapat pahala seperti membaca 1/3 al-Quran".
(Hadis Riwayar Muslim)

15. Adakah kalian ingin menambah pahala dalam timbangan untuk masuk ke syurga?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Dua kalimah yang Allah sangat suka kita membacanya dan sangat banyak pahala untuk memberatkan timbangan kebajikan di akhirat adalah 'SUBHA NALLAH WABIHAM BIHI... ' dan 'SUBHA NALLAH HAL A'ZIM.."
(Hadis Riwayat Bukhari)

16. Adakah kalian mahu supaya dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang selalu menghubungkan silaturrahim dia akan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki".
(Hadis Riwayat Bukhari)

17. Adakah kalian mahu dipelihara oleh Allah sepanjang masa?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang sentiasa solat subuh dia akan sentiasa dilindungi oleh Allah". (Hadis Riwayat Muslim)

18. Adakah kalian ingin Allah mengampunkan semua dosa anda?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang membaca ' SUBHA NALLAH WA BIHAM DIHI..' sebanyak 100x sehari Allah akan mengampunkan dosanya walaupun sebanyak buih dilaut". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

19. Adakah kalian mahu dijauhkan daripada azab api neraka?

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang berpuasa satu hari ikhlas kerana Allah dia akan dijauhkan daripada azab api neraka". (Hadis Riwayat Bukhari)

20. Adakah kalian ingin dirahmati oleh Allah?

Nabi SAW bersabda maksudnya  : "Sesiapa yang membaca sati kali selawat kepada Nabi Muhammad Allah akan memberi sepuluh kali  rahmat kepadanya".
(Hadis Riwayat Bukhari)

21. Adakah kalian ingin Allah mengangkat darjat kalian?

Nabi SAW bersabda maksudnya  : "Sesiapa yang merendah diri kepada Allah, Allah akan menangkat darjatnya dan memuliakannya". (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita beramal dengan amal soleh, beribadah dengan ikhlas dan khusyuk kepada Allah SWT, melaksanakan jihad dan kerja-kerja kebajikan di dunia ini semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Balasan untuk mukmin yang istiqamah dengan Islam adalah kebaikan di dunia dan kebaikan dihari akhirat . Hayatilah 21 perkara amalan di atas untuk menuju ke syurga Allah SWT.